Oleh MUHAMMAD HATIM
Siri kekejaman manusia ke atas manusia yang lain sering kali dipaparkan di dalam media-media utama negara. Jika sebelum ini kita sering mendengar kisah isteri didera suami tetapi akhbar Utusan Malaysia, 3 Februari 2010, mendedahkan perlakuan seorang isteri yang dikatakan telah mendera dan memukul suaminya hingga lebam dan luka. Apa yang dipaparkan itu memperlihatkan betapa sikap yang tidak perikemanusiaan dan kederhakaan seorang isteri.
Seorang suami merupakan kaum yang harus dihormati dan dilayani dengan penuh kasih sayang.Agama Islam mewajibkan umatnya sentiasa memiliki perikemanusiaan dalam hidupnya. Ini kerana Islam merupakan agama damai, agama yang menuntut umatnya menuju jalan kedamaian, baik kedamaian dunia mahupun kedamaian akhirat.
Oleh hal demikian itu, perikemanusiaan merupakan komponen terpenting daripada ajaran Islam. Dalam hal perikemanusiaan ini Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Dan bergaullah terhadap manusia dengan perilaku (akhlak) yang baik.” (Riwayat Tirmizi)
Islam sentiasa menganjurkan umatnya agar memperkukuhkan keimanan dan ketakwaannya sehingga dengan iman dan takwa yang kuat itu akan lahir suatu pertimbangan diri yang baik terhadap orang lain, iaitu pertimbangan yang menghasilkan anggapan bahawa manusia dilihat dari segi kelas dan golongan pada hakikatnya adalah sama. Harta benda dan pangkat tidak dapat dijadikan ukuran kemuliaan seseorang itu.
Sedangkan yang membezakan manusia menurut timbangan iman ialah orang yang paling banyak bertakwa kepada Allah. Kerana itu, dalam pergaulan hidup, setiap manusia mempunyai hak yang sama, hak mendapat jaminan untuk mencapai hidup yang lebih maju, damai dan sejahtera. Kerana itu marilah kita tingkatkan keimanan dan ketakwaan kita agar kita dapat menyedari bahawa persoalan kelas, golongan, kemuliaan, serta material tidak akan dibawa mati. Ia akan hancur bersamaan dengan hancurnya jasad manusia, sedangkan yang akan mengangkat maruah manusia di dunia mahupun di akhirat ialah darjat ketakwaan.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu disisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (al-Hujurat: 13)
Golongan yang kurang memiliki perikemanusiaan adalah kerana adanya sikap sombong (takbur) dalam dirinya. Menurut Imam Ali, Iblis pada mulanya adalah makhluk yang sangat taat beribadah. Enam ribu tahun menyembah Allah dengan penuh kesungguhan. Tetapi kerana takbur kepada Allah s.w.t satu saat sahaja ia dilaknati Allah s.w.t selama-lamanya kerana ia telah menyaingi kebesaran dan keagungan Tuhan.
Dengan sikap takbur itu seluruh amalan soleh tidak diterima Allah, haji kita ditolak, puasanya akan sia-sia dan solatnya akan membawa kepada kecelakaan. Ya Allah jauhi lah aku dari sifat takbur ini sesungguhnya pada MU Ya Allah ku berserah.
Salman al-Farisi ditanya, “Apakah perbuatan buruk yang menyebabkan semua kebaikan menjadi sia-sia?” Salman menjawab ringkas, “Takbur”.
Betapapun kecilnya sikap takbur, ia boleh memutuskan hubungan silaturrahim antara sesama manusia.
Seseorang tidak mempunyai perikemanusiaan ialah kerana dia sendiri belum pernah diganggu dan disakiti orang sehingga tidak pernah merasakan betapa sakitnya hati apabila diganggu dan disakiti orang, dia sesuka hati mengganggu dan menyakiti orang lain, bahkan berlaku atau bersikap sewenang-wenangnya terhadap orang lain. Islam melarang umatnya mengganggu dan menyakiti orang lain, kerana pada hakikatnya setiap makhluk yang hidup tidak ada yang mahu diganggu dan disakiti. Jika kita tidak ingin disakiti, maka janganlah menyakiti orang lain.
Di dalam al-Quran, surah al-Baqarah ayat 178 menjelaskan tentang adanya kewajipan melaksanakan hukum qishash, iaitu orang yang membunuh hukumannya ialah dibalas dengan hukuman bunuh. Manakala orang yang memukul harus dipukul, dan begitulah seterusnya. Ia bertujuan bagi mereka merasakan kesakitan pembunuhan dan sakitnya akibat dipukul. Dengan demikian, mereka tidak lagi sewenang-wenangnya melakukan tindakan di luar perikemanusiaan.
Mereka yang tidak perikemanusiaan ini adalah manusia yang kasar jiwanya dan tidak mendapat bimbingan agama dan hidup di persekitaran orang-orang yang kasar jiwanya. Pengaruh ini cenderung untuk mereka melakukan tindakan di luar batas kemanusiaan.
“Sesungguhnya sejahat-jahat manusia kedudukannya di sisi Allah pada hari kiamat ialah orang yang dijauhi orang lain kerana takut akan kejahatan itu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Mereka kurang memiliki sifat perikemanusiaan kerana tidak pernah menyedari bahawa menjunjung tinggi nilai-nilai kemanusiaan, membela kebenaran, mengambil berat terhadap orang lain merupakan suatu kewajipan dan tuntutan kemanusiaan yang harus ditegakkan.
Allah s.w.t. menganugerahkan akal kepada manusia bagi tujuan memelihara kemanusiaannya. Dengan akalnya manusia tidak akan secara membuta tuli mengikut hawa nafsunya. Bahkan dengan akalnya ia dapat mengendalikan nafsu daripada melakukan perkara-perkara yang di luar batasan perikemanusiaan.
“Hanya manusia yang tidak merasa malu sahaja akan melakukan apapun sekehendak hatinya.” (maksud hadis)
Akal dan malu adalah dua contoh penjagaan manusia, supaya ia tidak celaka atau jatuh menjadi binatang. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, “Seorang mukmin memiliki 72 penjagaan. Apabila ia berbuat satu dosa, maka runtuhlah satu penjagaan.”
Hanya agama yang mampu memberi ketenangan yang hakiki pada jiwa manusia, mampu mengatasi kerosakan moral, memberi peraturan hidupnya, sesuai dengan fitrah manusia dan mampu mengatasi persoalan-persoalan hidup yang semakin mengarah kepada material dan hilang sifat-sifat kemanusiaan.
disalin dan disemak serta ditambah sedikit sebanyak..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan