AL QURAN ONLINE

Listen to Quran

arah kiblat

Ahad, 4 Disember 2011

10 Muharam..

Antara Peristiwa-peristiwa atau Kejadian besar ketika 10 Muharram yang MESTI Masyarakat Islam ketahui --->>> Hari Peristiwa ini yang BAKAL menjelma pada hari: ( SELASA - 10 MUHARRAM 1433 bersamaan 6 Dis 2011 ) Tanggal 10 Muharram dinamakan juga hari Asyura kerana pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi pejuang yang gigih menegakkan syiar islam. Peristiwa yang berlaku pada hari Asyura: * Allah jadikan 7 petala langit dan 7 petala bumi. * Allah jadikan bulan,bintang,matahari dan cakrawala. * Allah jadikan Arasy,Loh Mahfuz,Kalam dan Malaikat. * Allah mencipta Nabi Adam Alaihissallam. * Allah menjadikan Siti Hawa. * Allah menjadikan Syurga. * Dimasukkan Nabi Adam ke dalam Syurga. * Taubat Nabi Adam diterima Allah. * Nabi Noh diselamatkan oleh Allah keluar dari bahtera setelah bumi tenggelam selama enam bulan. * Nabi Ibrahim dilahirkan dan 10 Muharram juga Baginda diselamatkan Allah daripada pembakaran Raja Zamrud. * Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa. * Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara. * Pengelihatan Nabi Yaakob yang buta dipulihkan oleh Allah. * Nabi Ayub dipulihkan oleh Allah dari penyakit kulit yang dideritainya. * Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan setelah berada didalamnya selama empat puluh hari dan empat puluh malam. * Laut merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa bersama pengikutnya daripada tentera Firaun. * Firaun dan pengikutnya tenggelam kedalam lautan tersebut. * Nabi Sulaiman dikurniakan Allah Kerajaan yang besar. * Hari pertama Allah mencipta alam dan menurunkan hujan. Amalan-amalan sunat pada Hari Asyura: * Berpuasa-Pahalanya seperti mengerjakan haji dan umrah dan mati syahid. * Mandi dan membersihkan diri-Nescaya hatinya tidak akan mati dan tidak akan jatuh sakit pada tahun itu kecuali mati. * Melebihkan perbelanjaan dalam keluarga-Diluaskan Allah rezekinya serta beroleh keamanan dan kesihatan. * Mengusap kepala anak yatim dan menaruh belas kasihan terhadap mereka- Diangkat oleh Allah darjatnya kesyurga. * Sesiapa yang berbuat baik terhadap anak yatim pada hari Asyura, seolah-olah ia telah berbuat baik kepada semua anak yatim. * Menziarahi orang alim (banyak ilmu) dan belajar sesuatu ilmu daripadanya-Pahalanya seperti orang Muhajirin dan Ansar. * Menziarahi orang sakit – Pahalanya seolah-olah ia telah menziarahi semua orang yang sedang sakit. * Bersedekah – Pahalanya sepertiu bersedekah satu tahun kepada zuriat Nabi Adam dan seolah-olah ia tidak pernah menolak permintaan orang yang meminta kepadanya seumur hidup. * Membaca surah Al-Ikhlas sebanyak 1000 kali–Doanya dimakbulkan Allah. * Sunat bercelak mata – InsyaAllah tidak terkena sakit mata atau matanya dilindungi Allah daripada perkara maksiat. * Sunat menginai dan mengerat kuku. * Menjamu dan memberi minum kepada orang-Allah akan memberi seteguk air pada hari akhirat dimana dengan seteguk air itu tidak akan haus buat selama-lamanya. * Solat sunat 4 rakaat 1 salam pada waktu Asar – Diampunkan Allah dosanya selama 50 tahun terdahulu dan terkemudian. * Memperkukuhkan silaturrahim – Insya Allah dipanjangkan usianya. * Memperbanyakkan Zikir dan Selawat.( Khasbunnallah wa nikmal wakil, nikmal maula wa nikman nassir )

Isnin, 1 Ogos 2011

Biar Betul.....

HADITH PALSU KELEBIHAN TARAWIH

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang. Puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wata'ala, Selawat dan Salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu 'Alaihi Wasallam serta para sahabatnya.
SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan Tarawih pada malam-malam Ramadan telah tersebar dengan meluas sekali. Media elektronik, cetak serta media massa lain turut memainkan peranan menyebarkannya melalui akhbar, dairi Islam, TV, radio, risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat, terutamanya dalam bulan yang diberkati itu. Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut.

Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan fadilat sembahyang Tarawih pada bulan Ramadan antaranya:

Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).

Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.

Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.

Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.

Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W.

Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh

Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanah air mengenai kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunah Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini. Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang Tarawih dan kedudukannya dalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama kita dahulu.

Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya: Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka. (Bukhori, Muslim)

Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).

Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu'ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis mengenai pendustaan atas nama Nabi Muhammad s.a.w. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad s.a.w. di antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam? seterusnya dia berkata: Ulama sudahpun sepakat mengenai haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga. Firman Allah bermaksud: Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan. (An-Najm: 3-4).

Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan Tarawih dalam bulan Ramadan seperti kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang sebenarnya hadis itu pun direka atas nama nabi Muhammad s.a.w. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang Zuhur dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri. Jika dia meninggalkan sembahyang Asar dosanya adalah seperti meruntuhkan Kaabah.

Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)

Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan ke dalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir)

Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan Tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun seksaannya, namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.

Antara ciri-ciri hadis maudhu`(rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah :

1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad s.a.w. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.

2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan sedangkan ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur'an dan hadis-hadis sahih.

3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi seperti yang terdapat dalam hadis-hadis sahih.

4. Dalam sesetengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan "Ya Ali" sedangkan ulama hadis sudah mengatakan bahawa hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang sahih. Yang lainnya palsu.


Oleh itu umat Islam sekalian, terutamanya pihak seperti institusi agama di peringkat negeri dan pusat, sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan dakyah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.



Petikan dari terbitan dan edaran percuma:
DARUL QURAN WAS-SUNNAH
Lot 1499, Taman Seri Demit, Jalan Sultanah Zainab 2
Kubang Kerian , 16150 Kota Bharu, Kelantan.


http://www.jais.gov.my/ramadhan/fadhilatterawih.php

Ahad, 17 Julai 2011

Dr Lo' Lo' Ahli parlimen Titiwangsa telah Kembali Ke Rahmatullah...

Dr Lo' Lo' meninggal dunia sebentar tadi
Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 17 Julai: Ahli parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali(gambar) menghembuskan nafas terakhir di Hospital Selayang kira-kira jam 10.15 malam ini.

Jenazah beliau kini sedang diusahakan untuk dibawa ke Masjid Al-Akram, Dato Keramat.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof ketika dihubungi Harakahdaily.

Maklumat berkenaan kematian itu juga turut dimuatkan pada laman Facebook dan Twitter Allahyarhamah atas nama keluarga.

Beliau sebelum ini menerima rawatan akibat kanser.

Dalam respons awal, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Allahyarhamuha seorang yang istiqamah berjuang untuk Islam sehingga akhir hayat.

"Saya dimaklumkan oleh keluarga terdekat almarhumah Dr Lo' Lo', MP PAS Titiwangsa tentang pemergian beliau sebentar tadi.

"Semoga Allah merahmati rohnya dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. Beliau seorang yang istiqomah berjuang untuk Islam hingga ke saat akhir hayatnya," tulisnya di Facebook.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan pula menyifatkan Allahyarhamah seorang tokoh pejuang Islam yang tabah.

"PAS dan rakyat sebentar tadi kehilangan tokoh pejuang Islam yg tabah apabila sbentar td Dr Lo' Lo' telah kembali ke rahmatillah.. Al Faatiihah." tulisnya di Twitter.
Menurut anak allahyarhamuha, Muhd Fawwaz, jenazah akan diuruskan di Masjid al-Akram, Datuk Keramat pagi esok.
"Insya allah, akan dikebumikan pada waktu pagi di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat," tulisnya melalui sistem mesej singkat (SMS) kepada Harakahdaily.

Khamis, 14 Julai 2011

Apa yang Anda Mahu

Seminggu telah berlalu perhimpunan yagn dianggap haram kerana tidak ada permit dan pertubuhan tu tak berdaftar. Lain kali parti atau badan NGO terbabit mohon terus permit. Tidak payah bentuk jawatankuasa lain.  Direct to the point who is the leader. Saya tidak menyokong mana-mana tapi kesian kepada yang menjadi mangsa belasahan serta pancutan air kimia dan gas pemedih mata.  Sakit dan perit, banyak gambar serta visual dirakam menunjukan keadaan lokasi kejadian. Apa pun syabas kepada kedua-dua pihak. Pihak satu lagi berjaya mengumpul orang ramai walau dikepung n provokasi serta serangan sikologi dilakukan namun orang ramai tetap datang.  Pihak satu lagi pula mengambil tindakan begitu agresif sampai ke tahap menangkap dan sehingga tidak mengeluar permit atas alasan pertubuhan HARAM.. Sedangkan SPBYDPA telah mengizinkan serta menyarankan agar kedua pihak bertolak ansur serta bertindak secara profesional.  Baginda mahukan keamanan negara kita dipelihara dan segala masalah diatasi dengan bijaksana bukan dengan cara ikut suka hati.. Sepanjang pemerhatian didapati banyak tangkapan dibuat tapi apa tujuan tangkapan tu.. Kenapa tidak dikepung semua yang berkumpul dan dibawa ke satu tempat yang luas dan diambil keterangan semua sekali.. Tanya mereka adakah mereka dibayar untuk hadir...jadi jangan jadi pembohong lah..lepas tu keluar pula gambar Mat Bangla dengan PATRIOT..kesian Mat Bangla tu tak pasal-pasal kena 'kuda'.  Ini rasaya yang diupah...Minggu ini keluar pula kenyataan yang mereka tidak menghalakan ke hospital, ini disahkan pula oleh menteri kesihatan dan lembaga pengarah.. Mungkin mereka buta mata tapi kamera dan visual tidak tipu.. Saya tidak masuk mana-mana pihak, tapi kekadang sakit hati dengan kenyataan yang seolah-olah berat sebelah dan macam zaman purbakala.. wsalam

Selasa, 24 Ogos 2010

 Royalti: Kelantan dijangka fail saman Petronas 30 Ogos


Royalti: Kelantan dijangka fail saman Petronas 30 Ogos
Wartawan Kita   
KOTA BHARU, 24 Ogos: Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa (gambar) berkata, kerajaan negeri dijangka memfailkan saman terhadap Petronas kerana pecah kontrak pada 30 Ogos ini di sebuah mahkamah di Kuala Lumpur.
“Esok writ tuntutan saman itu akan dibawa kepada mesyuarat Exco kerajaan negeri untuk mendapat kelulusan.
”Dan sekiranya mendapat kelulusan, saman itu akan difailkan terhadap Petronas pada 30 Ogos ini. Seorang peguam terkenal Thomy Thomas akan memfail bagi pihak kerajaan negeri,” katanya tanpa memberitahu mahkamah mana di Kuala Lumpur.
Menurutnya saman tersebut pada peringkat awal dijangka difail pada 31 Ogos dengan kira semangat kemerdekaan.
Bagaimanapun, kata beliau tarikh tersebut merupakan hari cuti, maka tarikh 30 Ogos lebih sesuai dengan semangat kemerdekaan sekarang.
Kata beliau kes saman terbabit berbeza dengan apa yang dilakukan kerajaan PAS Terengganu pada 2000, memandangkan ada afidavit bertulis daripada bekas pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah yang sanggup menjadi saksi utama.
”Biar pun kes tuntutan royalti dibawa ke mahkamah namun perundingan masih terbuka bagi menyelesaikan isu tersebut.
”Dengan mengambil semangat Ramadan sekarang adalah peluang terbaik bagi pihak terbabit untuk membayar royalti kepada Kelantan,” ujarnya yang juga Exco Kerajaan Negeri.
Kerajaan Kelantan menuntut royalti minyak kepada Petronas dan kerajaan pusat berdasar kepada Akta Kemajuan Petroleum 1974 setelah carigali minyak dilakukan di kawasan perairannya.
Ditanya surat Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Perdana Menteri, katanya Datuk Seri Najib Razak mungkin sibuk untuk menjawab surat penjelasan mengenai royalti petroleum. 

petikan dari Harakahdaily.net

Isnin, 23 Ogos 2010

Simbah Cat di Surau...



KUALA LUMPUR, 23 Ogos: Insiden sebuah surau di Taman Pulai Impian, Sikamat, Seremban yang disimbah cat merah pagi tadi mendapat kecaman hebat dari banyak pemimpin Pakatan Rakyat.

Melalui sesawang sosial Twitter, didapati Anthony Loke Siew Fook, Ketua Belia DAP Nasional paling awal mengutuk tindakan tidak demokratik tersebut.

"Sebuah surau di Pulai Taman Impian, Temiag Seremban itu disimbah dengan cat merah pagi tadi, gila!"

"Sangat menghinakan tindakan yang tidak bertanggungjawab itu apabila menyerang tempat ibadah, khususnya surau pada bulan Ramadhan yang suci," ujarnya yang juga Adun Rasah seperti dipetik dari http://twitter.com/anthonyloke.

Lim Kit Siang, Penasihat DAP kemudiannya mengajak seluruh rakyat Malaysia supaya mengutuk aktiviti vandalisme tersebut.

"Semua rakyat Malaysia mesti mengutuk vendalisme dengan menggunakan cat merah di surau baru Taman Impian Pulai Temiah Seremban," ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur dari http://twitter.com/limkitsiang.

Menurut Chegubard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin, Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) pula, perbuatan tersebut semata-mata mahu membangkitkan sentimen agama dan perkauman.

"Surau di seremban disimbah caj dan dibaling botol arak!! Ini kerja orang nak bangkitkan sentimen agama/kaum.." ujar beliau dari http://twitter.com/chegubard.

Beliau juga menyifatkan perbuatan itu menguntungkan parti-parti perkauman di tanah air.

"...mereka tak henti cuba bakar sentimen kaum/agama. Parti kaum yang untung!!" siulnya lagi di Twitter.

Manakala Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Agung PAS kemudiannya didapati turut senada dengan CheguBard, iaitu mendakwa pemimpin Umno BN acap kali meniupkan sentimen perkauman belakangan ini.

"Pemimpin Umno/BN terlalu mainkan sentimen perkauman sejak akhir-akhir ini dan boleh jejaskan keharmonian kaum," ujarnya seperti dipetik dari http://twitter.com/dato_mustafaali.

Lanjutan itu, beliau turut mempersoal motif permainan politik Umno BN itu.

"Apa motif?" siulnya lagi di Twitter.

Melihat pada siulan para pemimpin Pakatan Rakyat terbabit, didapati mereka masing-masing menganggap insiden itu berpunca oleh amalan politik perkauman yang sempit
 Nukilan:Dzulfikar Mashoor   
Petikan dari Harakahdaily.net

Selasa, 3 Ogos 2010

Apa Dah jadi....

Umno bertahan dengan tentera upahan
Zulkifli Sulong   
KUALA LUMPUR, 3 Ogos: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan keberadaan Umno sehingga kini adalah kerana 'tentera upahan' yang dibayar untuk mempertahankan parti itu agar kekal berkuasa.

Kenyataan Abdul Hadi ini dibuat dalam sessi sembang dengan beliau di pejabat Harakah semalam ketika negara sedang menyaksikan tindakan keras diambil oleh polis terhadap pelbagai program anjuran pelbagai pihak khasnya Pakatan Rakyat.

Ia dikatakan dibuat berdasarkan arahan agar menyekat semua program Pakatan Rakyat termasuklah majlis memperingati 50 tahun ISA di seluruh negara dan Himpunan Warga Felcra Kebangsaan di Felcra Bandar Seberang Perak, Changkat Lada, Pasir Salak.

36 telah ditangkap polis di majlis memperingati ISA di seluruh negara termasuk di Kota Bharu manakala 16 di perhimpunan Felcra di Pasir Salak.

"Umno sekarang hidup dengan tentera upahan. Mungkin kenyataan saya ini kasar sedikit tetapi itulah realitinya. Bukan aqidah atau ideologinya yang memenangkan Umno tetapi jentera kerajaan," kata Abdul Hadi.

Bagaimanapun, beliau yakin, masyarakat tidak akan boleh ditipu Umno untuk selama-lamanya.

"Apa yang perlu adalah kita sabar dalam perjuangan disertakan  dengan kerja kuat. Sejarah pilihan raya khasnya pilihan raya kecil di negara ini membuktikan PAS akan menang di kawasan yang kita kuat dan banyak cawangan," katanya lagi.

Beliau memberikan contoh kejayaan PAS dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu dan Bukit Gantang kerana kerja kuat dan cawangan PAS yang banyak di situ.

"Oleh itu, sebagai persiapan saya menyeru supaya PAS memperbanyakkan cawangan di seluruh negara. Kenapa Kelantan dan Kedah kita menang? Kerana di sana banyak cawangan PAS," kata beliau dalam pertemuan itu.

Abdul Hadi menolak teori yang mengatakan pencapaian PAS akan merosot dalam pilihanraya umum ke 13 selepas berjaya besar dalam pilihan raya umum ke 12 lalu.

"Saya tidak percaya kepada teori sebegini termasuk ramalan sotong. Saya yakin kalau kita kerja keras dan betul strateginya kita akan menang lebih besar dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.

Mengikut sejarahnya, kejayaan PAS akan turun naik dalam pilihanraya umum di mana pencapaian PAS akan jatuh dalam pilihan raya yang melibatkan persempadanan semula kawasan pilihan raya kerana BN sentiasa menggunakannya untuk kepentingan parti yang memerintah itu.

Dalam pertemuan itu juga Abdul Hadi menyeru umat Islam di negara ini memberikan peluang kepada PAS pula untuk mentadbir negara bagi menggantikan Umno yang sudah diberi peluang lebih 50 tahun.

"Melayu dan Islam tetap menjadi teras politik di negara ini. Sudah lebih 50 tahun Umno diberi peluang untuk mentadbir dengan konsep ketuanan Melayu berlandaskan sekularisme barat dan Islam hanya hadir tanpa kuasa.

"Saya rasa sudah tiba masanya Melayu kembali kepada Islam dan memilih PAS untuk menggantikan Umno bagi mentadbir negara ini," kata Abdul Hadi.

Beliau juga berkata, kerajaan BN sekarang sengaja memberikan subsidi kepada rakyat dalam keadaan yang sangat sedikit.

"Subsidi ini sekadar untuk membolehkan rakyat hidup tetapi rakyat tidak boleh berlari. Ia sengaja dibuat untuk mengawal rakyat," kata beliau dalam pertemuan itu.

Laporan lanjut dalam Harakah cetak Jumaat ini.