AL QURAN ONLINE

Listen to Quran

arah kiblat

Selasa, 3 Ogos 2010

Apa Dah jadi....

Umno bertahan dengan tentera upahan
Zulkifli Sulong   
KUALA LUMPUR, 3 Ogos: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan keberadaan Umno sehingga kini adalah kerana 'tentera upahan' yang dibayar untuk mempertahankan parti itu agar kekal berkuasa.

Kenyataan Abdul Hadi ini dibuat dalam sessi sembang dengan beliau di pejabat Harakah semalam ketika negara sedang menyaksikan tindakan keras diambil oleh polis terhadap pelbagai program anjuran pelbagai pihak khasnya Pakatan Rakyat.

Ia dikatakan dibuat berdasarkan arahan agar menyekat semua program Pakatan Rakyat termasuklah majlis memperingati 50 tahun ISA di seluruh negara dan Himpunan Warga Felcra Kebangsaan di Felcra Bandar Seberang Perak, Changkat Lada, Pasir Salak.

36 telah ditangkap polis di majlis memperingati ISA di seluruh negara termasuk di Kota Bharu manakala 16 di perhimpunan Felcra di Pasir Salak.

"Umno sekarang hidup dengan tentera upahan. Mungkin kenyataan saya ini kasar sedikit tetapi itulah realitinya. Bukan aqidah atau ideologinya yang memenangkan Umno tetapi jentera kerajaan," kata Abdul Hadi.

Bagaimanapun, beliau yakin, masyarakat tidak akan boleh ditipu Umno untuk selama-lamanya.

"Apa yang perlu adalah kita sabar dalam perjuangan disertakan  dengan kerja kuat. Sejarah pilihan raya khasnya pilihan raya kecil di negara ini membuktikan PAS akan menang di kawasan yang kita kuat dan banyak cawangan," katanya lagi.

Beliau memberikan contoh kejayaan PAS dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu dan Bukit Gantang kerana kerja kuat dan cawangan PAS yang banyak di situ.

"Oleh itu, sebagai persiapan saya menyeru supaya PAS memperbanyakkan cawangan di seluruh negara. Kenapa Kelantan dan Kedah kita menang? Kerana di sana banyak cawangan PAS," kata beliau dalam pertemuan itu.

Abdul Hadi menolak teori yang mengatakan pencapaian PAS akan merosot dalam pilihanraya umum ke 13 selepas berjaya besar dalam pilihan raya umum ke 12 lalu.

"Saya tidak percaya kepada teori sebegini termasuk ramalan sotong. Saya yakin kalau kita kerja keras dan betul strateginya kita akan menang lebih besar dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.

Mengikut sejarahnya, kejayaan PAS akan turun naik dalam pilihanraya umum di mana pencapaian PAS akan jatuh dalam pilihan raya yang melibatkan persempadanan semula kawasan pilihan raya kerana BN sentiasa menggunakannya untuk kepentingan parti yang memerintah itu.

Dalam pertemuan itu juga Abdul Hadi menyeru umat Islam di negara ini memberikan peluang kepada PAS pula untuk mentadbir negara bagi menggantikan Umno yang sudah diberi peluang lebih 50 tahun.

"Melayu dan Islam tetap menjadi teras politik di negara ini. Sudah lebih 50 tahun Umno diberi peluang untuk mentadbir dengan konsep ketuanan Melayu berlandaskan sekularisme barat dan Islam hanya hadir tanpa kuasa.

"Saya rasa sudah tiba masanya Melayu kembali kepada Islam dan memilih PAS untuk menggantikan Umno bagi mentadbir negara ini," kata Abdul Hadi.

Beliau juga berkata, kerajaan BN sekarang sengaja memberikan subsidi kepada rakyat dalam keadaan yang sangat sedikit.

"Subsidi ini sekadar untuk membolehkan rakyat hidup tetapi rakyat tidak boleh berlari. Ia sengaja dibuat untuk mengawal rakyat," kata beliau dalam pertemuan itu.

Laporan lanjut dalam Harakah cetak Jumaat ini.

Isnin, 2 Ogos 2010

Skap Manusia....

Kerajaan, JPJ langgar keputusan mahkamah?
Wartawan Kita   
KOTA BHARU, 2 Ogos: Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Kelantan yang telah bermesyuarat semalam mengambil keputusan mendesak kerajaan Malaysia memberhentikan tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menghalang pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan dan lesen kenderaan akibat menerima saman ekor.
Pengerusinya, Hisham Fauzi berkata, ini adalah sebagaimana yang telah diputuskan oleh mahkamah di dalam kes Leonard Lim Yaw Chiang –vs- Director Of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak & Anor [2009] 6 CLJ 280 yang secara jelas menyatakan bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan tidak boleh menyenarai hitam kenderaan semata-mata dengan saman ekor.
Ini kerana, tindakan menyenaraihitamkan kenderaan atas sebab saman ekor adalah bertentangan dengan seksyen 17 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan merupakan satu perlanggaran kepada Artikel 13 Perlembagaan Persekutuan.
“Jadi, setelah sedemikian diputuskan oleh mahkamah, kenapakah pihak kerajaan dan JPJ masih melakukan perkara ini? Tidakkah keputusan mahkamah ini perlu dihormati dan diikuti?” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Tegasnya, tindakan sebegitu adalah merupakan suatu penganiyaan ke atas rakyat Malaysia dan perlu diberhentikan segera.
“Kami juga dengan ini mendesak agar Kerajaan Malaysia dan JPJ bersegera dalam menarik balik penyenaraian hitam ini kerana isu ini sudahpun diselesaikan oleh mahkamah,” katanya yang juga Naib Ketua Pemuda PAS Kelantan.
Tambahnya, tinggal lagi sama ada Kerajaan Malaysia dan JPJ mahu mematuhi perintah mahkamah tersebut atau tidak.
“Pihak kami juga berkeputusan bahawa jika situasi ini tidak berubah, maka suatu tindakan perundangan lain akan dimulakan bagi membela rakyat yang secara nyata telah ditindas dalam isu ini,” ujarnya.

Apa Nak Dikata????

Tahanan lari, pecat Menteri Dalam Negeri
http://syukran.wordpress.com   
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mahu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dipertanggungjawabkan dan dipecat dari jawatannya berikutan insiden 20 tahanan warga Afghanistan yang melarikan diri dari Depoh Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi Ahad baru-baru ini.
DPPWP bersetuju dengan kata dua yang diberikan oleh Menteri kepada Ketua Setiausaha kementeriaan itu dan juga kepada Ketua Pengarah Imigresen termasuklah mengarahkan pegawai yang bertugas menjaga tahanan itu ditukarkan segera. Tetapi ini adalah insiden kali kedua melibatkan depoh tahanan yang sama, kali pertama berlaku adalah pada awal bulan Mac yang lalu dimana 12 rakyat rakyat Afghanistan dan empat rakyat Myanmar, yang semuanya lelaki berumur 22 hingga 48 tahun berjaya melarikan diri.
Oleh itu, pihak Menteri yang sama perlu ambil tanggungjawab untuk letak jawatan atau dipecat.Bukan tahap keselamatan dan pengawasan di depoh itu sahaja yang dipersoalkan, tetapi rakyat juga berada dalam keadaan ketakutan kerana negara ini semakin tidak selamat berikutan begitu ramainya pendatang tanpa izin (PATI) termasuklah mereka yang dikategorikan sebagai tinggal lebih masa selepas VOA (Visa on Arrival) mereka tamat.
DPPWP setuju jika VOA ditamatkan kerana usaha lain boleh dilakukan bagi menarik kehadiran pelancong. Dan DPPWP mahu kerajaan menjimatkan wang negara berikutan kos penghantaran kian meningkat. RM 30.2 juta telah dibelanjakan bagi menghantar PATI ini, dengan kos harian mereka dipusat tahanan mencecah RM 30 seorang.
Proses penghantaran mereka ke negara asal perlulah dipercepatkan dan DPPWP mempersoalkan kenapakah 20 tahanan yang lari ini masih diletakan dalam tahanan walaupun sudah ditangkap sejak Disember tahun lepas. Hampir 8 bulan mereka duduk percuma didalam tahanan di negara ini dengan semua perbelanjaan ditanggung rakyat.
DPPWP mencadangkan agar Kerajaan memperketatkan pengurusan PATI ini dengan membahagikan sebahagian besar kos pembiayaan menghantar mereka pulang kepada Kerajaan di negara asal mereka.
Selain itu, Kerajaan juga perlulah meningkatkan penguatkuasaan undang-undang dibawah kelolaan Imigresen dimana bagi mereka yang didapati tinggal secara haram dinegara ini hendaklah ditangkap dan dipenjarakan untuk satu tempoh tertentu sebelum dihantar ke negara asal. Dalam tempoh tahanan itu mereka diberikan hukuman bekerja didalam sektor yang boleh mengaut dana untuk menampung kos mereka dihantar pulang seperti membuat kerja-kerja dobi dan yang bersesuaian.
Konsep ‘Industrial jail’ bukan sahaja akan menahan mereka tetapi memastikan negara tidak rugi dan dapat mengunakan khidmat mereka secara percuma atau dengan bayaran yang amat rendah untuk menjana industri yang dibina dibawah kelolaan kerajaan atau dengan kerjasama industri. Gaji dan pendapatan mereka diberikan terus ke dalam akaun kerajaan bagi menampung kos mereka dalam tahanan dan kos penghantaran mereka. Dalam masa yang sama, jumlah kemasukan pekerja asing dihadkan.
Apa pun jua, DPPWP akui bahawa kita berdepan dengan soal keselamatan, kedaulatan dan intergriti negara serta dalam masa yang sama kita juga berdepan dengan isu kemanusiaan. Namun kita perlu membuat pilihan yang tepat kerana kita tidak mahu Kerajaan menghabiskan wang negara bagi perkara-perkara yang tidak sepatutnya berlaku dan boleh dielakan jika kawalan sempadan diperketatkan.
Saban hari negara ini dibanjiri PATI yang jumlahnya kini dianggarkan lebih dari 1 juta orang dan masih berkeliaran. Prospek jenayah dan ancaman sindiket antarabangsa mencipta ketakutan. Oleh itu DPPWP mahu Menteri bertanggungjawab dan dipecat. Struktur pentadbiran dan undang-undang berkaitan pengurusan pekerja asing dan PATI ini juga hendaklah diperbaharui segera.
Herman Samsudeen,
Pemangku Ketua,
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Saman ekor: PAS gesa batal senarai hitam kenderaan

Saman ekor: PAS gesa batal senarai hitam kenderaan
Hazayani Zakaria   
KUALA LUMPUR, 2 Ogos: Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) akan bertemu dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha pada 5 Ogos ini bagi berbincang mengenai tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menghalang pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan dan lesen kenderaan akibat menerima saman ekor.
Pengerusi Kase, Datuk Mahfuz Omar berkata, jawatankuasa berkenaan juga akan mengatur satu pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagi membincangkan perkara sama.
"Kami berharap pihak menteri tidak ada masalah dengan pertemuan ini kerana isu ini melibatkan rakyat secara keseluruhannya.
"Kami minta pihak Kementerian Pengangkutan membuat keputusan bijak dengan mengarahkan JPJ membatalkan black list tersebut dan izinkan orang ramai untuk perbaharui cukai jalan.
"Kase juga akan tetapkan satu tarikh untuk bertemu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin untuk berbincang isu saman ekor ini kerana pihak polis pun memainkan peranan dalam mengenakan saman ekor ini," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di Ibu Pejabat PAS di sini, hari ini.
Menurut Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS, Kase juga akan mengadakan hari bertemu mangsa saman ekor di beberapa tempat pada 9 dan 10 Ogos bagi memberikan penerangan kepada mereka dari sudut undang-undang mengenai tindakan yang dikenakan JPJ dan pihak polis itu yang akan disampaikan oleh pengamal undang-undang dalam Kase sendiri.
Pertemuan bagi mereka yang berada di Wilayah Persekutuan dan Selangor akan diadakan di sekitar ibu negara manakala bagi mereka yang tinggal di Melaka dan Negeri Sembilan, pertemuan akan diadakan di Seremban.
"Kita akan adakan hari bertemu mangsa saman ekor ini pada 9 Ogos untuk Wilayah dan Selangor dan kita menyeru semua mangsa saman ekor akan ikuti perjumpaan ini.
"Akan ada satu taklimat tentang akta dan undang-undang untuk mereka fahami bahawa mereka belum lagi bersalah. Khidmat nasihat akan diberikan oleh penasihat undang-undang kita.
Selain itu, Kase juga akan mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bagi membuat aduan mengenai akta dan undang-undang yang dilihat bercanggah dengan perlembagaan negara.
"Kita juga akan bertemu dengan Suhakam supaya Suhakam dapat melihat ada banyak akta dan undang-undang yang sangat bercanggah dengan perlembagaan negara," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan JPJ tidak membenarkan pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan bertentangan dengan perkara 13 Perlembagaan negara yang membenarkan seseorang menggunakan hartanya.
"Perlembagaan negara di bawah perkara 13 menyatakan bahawa kita berhak menggunakan harta kita. Kenderaan adalah sebahagian daripada harta kita.
"Jadi kerajaan melalui JPJ telah menghalang kita menggunakan harta kita apabila menyenaraikan hitamkan kenderaan dan halang perbaharui cukai jalan.
"Tindakan JPJ ini satu tindakan tidak wajar dan menafikan hak seseorang menggunakan kenderaan. Jadi saya minta supaya pihak JPJ pertimbangkan untuk menarik balik senarai hitam ini," jelasnya.
Mahfuz turut menyifatkan tindakan itu akan merugikan negara kerana hasil cukai jalan merupakan pendapatan tetap negara.
"Saya sifatkan ini satu tindakan yang merugikan negara kerana kita mungkin kehilangan pendapatan tetap negara kerana orang yang disenarai hitam tidak akan bayar cukai jalan," katanya.
Tindakan itu juga, katanya dibimbangi akan menggalakkan pemilik kenderaaan yang disenari hitam melakukan satu lagi kesalahan iaitu memandu tanpa cukai jalan selain menggalakkan amalan rasuah terutamanya kepada syarikat-syaraikat kenderaaan yang besar bagi meneruskan perkhidmatan mereka.
"Secara tidak sedar, senarai hitam ini akan galakkan lagi pemilik kenderaan melakukan kesalahan memandu tanpa cukai jalan.
"Ia juga akan mengakibatkan berlakunnya amalan rasuah terutama syarikat-syarikat kenderaan seperti bas ekspres yang ingin meneruskan operasi mereka," katanya.
Namun, Mahfuz menegaskan, jawatankuasa itu ditubuhkan bukan untuk menggalakkan orang ramai melakukan kesalahan jalan raya sebaliknya bertujuan membela nasib mereka yang teraniaya akibat tindakan JPJ tanpa prosedur yang betul.
"PAS tubuhkan jawatankuasa ini bukan bermakna kita bersetuju orang ramai boleh melanggar had laju sewaktu memandu dan melanggar undang-undang jalan raya.Tapi kita buat ini untuk pembelaan.
"Kami anggap ini satu penganiyaan kepada orang kerana menerima notis yang tidak melalui prosedur tertentu," katanya lagi.
Turut bersama pada sidang media itu Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Taufek Abdul Ghani yang juga Timbalan Pengerusi Kase, Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah dan Penasihat Undang-undang Kase, Zulhazmi Shariff.

di petik dari harakahdaily 3 Ogos 2010: