AL QURAN ONLINE

Listen to Quran

arah kiblat

Isnin, 1 Mac 2010

Tiga tahap konflik dihadapi suami isteri

DALAM perbincangan munakahat, ulama mengkategorikan tiga konflik utama yang dihadapi pasangan suami isteri. Dalam pergaulan mereka wujud ciri berikut:

Nusyuz

Dilakukan oleh salah seorang daripada pasangan. Dapat dikesan melalui komunikasi pasangan, reaksi muka, wajah selamba atau tidak mahu bertentangan muka. Bercakap dengan kasar atau tidak mahu bertegur sapa, pura-pura tidak mendengar atau berkomunikasi melalui perantaraan.

Syiqaq

Perselisihan faham suami isteri yang sudah sampai ke tahap saling cerca mencerca dan pukul memukul.

Dharar

Penganiayaan suami seperti memukul dan mendera isteri, sedangkan isteri adalah wanita yang baik akhlak dan taat kepada suami.

Bagaimanakah menangani konflik yang berlaku?

Sebenarnya dalam kehidupan sebagai suami isteri tidak lari daripada kemungkinan menghadapi ujian rumah tangga dalam bentuk konflik seperti nusyuz, dharar dan syiqaq.

Sekiranya keadaan konflik berlaku disebabkan isteri nusyuz, suami patut mengambil langkah seperti berikut:

Memberi nasihat kepada isteri dengan penuh kasih sayang.

Menyedarkan isteri mengenai tingkah laku yang dilakukan dan mengingatkan kesan itu kepada diri sendiri dan pasangan serta kedudukan sebagai hamba Allah. Hal ini kerana keredaan Allah ke atas isteri bergantung kepada keredaan suami kepadanya.

Sekiranya suami tidak bersedia memberi nasihat dengan cara itu, suami boleh membawa isteri mendapat khidmat nasihat daripada keluarga terdekat, sahabat yang dipercayai, orang berpengaruh dalam masyarakat atau tempat yang menyediakan khidmat kaunseling.

Sekiranya nasihat tidak memberi kesan untuk mengubah tingkah laku isteri, suami boleh membuat ta'dib kepada isteri. Iaitu memberi pengajaran dengan mengambil langkah berikut:

(a) Pisahkan tempat tidur hingga isteri meninggalkan nusyuznya;

(b) Tidak bertegur sapa tidak lebih tiga hari;

(c) Pukul dengan alat yang tidak memudaratkan anggota badan dan tidak pada muka (sekadar memberi ta'dib); dan

(d) Andainya isteri tidak menunjukkan perubahan, suami boleh membawa perkara ini ke Mahkamah Syariah untuk dibicarakan bagi mendapat keputusan mahkamah sama ada kes ini:

Boleh diselesaikan dengan baik (sulh) sama ada tinggal semula bersama atau bercerai dengan baik.

Dirujuk dengan hakam.

Sabitan nusyuz isteri, isteri akan hilang semua haknya sebagai isteri kecuali mengubah tingkah lakunya. Sekiranya isteri enggan, suami boleh menjatuhkan talak. Isteri dimaklumkan bahawa haknya mendapatkan mutaah dan nafkah idah akan gugur disebabkan nusyuz.

Sekiranya nusyuz pula berlaku di pihak suami dan dia enggan mengubah tingkah lakunya, isteri boleh membuat aduan kepada perunding keluarga atau mengemukakan kes mereka di Mahkamah Syariah untuk ditangani oleh pihak mahkamah. Ia bagi menentukan kehendak mereka sama ada berdamai dengan suami serta diperintahkan berlaku adil atau bercerai dengan talak biasa daripada suami atau tebus talak di pihak isteri.

Menangani konflik dalam bentuk syiqaq

Apabila keadaan hubungan suami isteri saling cerca mencerca, tuduh dan pukul memukul, alam perkahwinan menjadi medan pergaduhan. Tidak ada pihak yang dapat menasihati dan menerima nasihat daripada pasangan.

Konflik mereka perlu ditangani dengan kaedah seperti firman Allah bermaksud: “Dan jika kamu bimbangkan perpecahan antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah orang tengah untuk mendamaikan mereka iaitu seorang daripada keluarga lelaki dan seorang daripada keluarga perempuan. Jika kedua-dua orang tengah itu dengan ikhlas bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua-dua (suami isteri itu) berpakai baik. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui, lagi amat mendalam pengetahuannya.” (Surah an-Nisa’, ayat 35)

Suami isteri yang menghadapi syiqaq perlu mengadakan sulh (perbincangan) yang dihadiri oleh wakil keluarga atau penasihat (kaunselor).

Sekiranya konflik mereka tidak mendapat jalan perdamaian, pasangan perlu membawa kes mereka ke mahkamah untuk ditangani pada peringkat mahkamah.

Seandainya mahkamah mendapati perbicaraan mereka menghadapi keadaan yang perlu dirundingkan pada peringkat suami isteri, mahkamah akan melantik seorang pengerusi untuk mengetuai perundingan wakil yang dilantik oleh suami isteri.

Selepas memperoleh beberapa keputusan, pengerusi akan memanggil suami isteri untuk dibicarakan semula bagi mensabitkan shiqaq. Jika sabit shiqaq, pasangan akan diminta membuat majlis tahkim yang dihadiri oleh wakil keluarga dan suami isteri untuk membuat beberapa keputusan sama ada berdamai dengan mengubah tingkah laku masing-masing atau bersetuju bercerai.

Keputusan mereka akan dibawa ke mahkamah untuk dibuat perintah mahkamah mengenai keputusan pasangan.

Menangani konflik dalam bentuk dharar

Apabila isteri mengalami penderaan atau penganiayaan daripada suami seperti dipukul, dikurung atau diabaikan nafkah zahir dan batin serta berlarutan daripada had nusyuz, langkah yang perlu isteri lakukan adalah mendapatkan saksi terhadap perbuatan itu. Pada masa sama, isteri perlu membuat laporan kepada polis, pegawai perubatan serta boleh membuat pengaduan ke mahkamah untuk dibicarakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan