Kita jangan keliru, apabila wanita disebut sebagai isteri, bukanlah untuk
merendahkan taraf wanita itu. Ia adalah sebagai suatu jaminan hak supaya mereka
itu dipelihara, dilindungi dan dibela dengan baik oleh suami.
Seorang isteri tentulah mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap suami.
Tanggungjawab ini adalah suatu perkara yang serius dan tidak boleh
diabai-abaikan. Isteri yang mengabaikannya senang mendapat laknat dan dikhuatiri
termasuk ke dalam kategori isteri derhaka.
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh
‘Aisyah Radhiallahu ‘Anha bermaksud:
"Aku pernah bertanya kepada Baginda: "Siapakah orang yang paling berhak ke atas
isteri ?" Baginda menjawab:"Orang yang paling berhak kepada isteri ialah
suaminya". Kemudian aku bertanya lagi :"Dan siapakah orang yang paling berhak ke
atas suami?" Baginda menjawab:"Orang yang paling berhak ke atas seorang suami
ialah ibu kandungnya."
(Riwayat Bazar dan al-Hakim)
Dalam sebuah hadis yang lain pula Baginda bersabda bermaksud: "Sekiranya aku
dibenarkan untuk memerintahkan seseorang bersujud kepada orang lain nescaya aku
perintahkan seorang isteri bersujud kepada suaminya."
(Riwayat Tirmizi dab Ibnu Hibban)
Jika ada para isteri yang tidak menunaikan tanggungjawabnya kepada suami dengan
sebaik-baiknya, dan menganggap tanggungjawab terhadap suami itu hanya
membebankan dan menyusahkan dirinya, maka isteri yang sedemikian itu dikhuatiri
termasuk di dalam kategori isteri yang menderhaka atau nusyuz.
Apakah ciri atau tanda isteri yang derhaka itu? Ini perlu diketahui semata-mata
untuk dijadikan langkah waspada agar para isteri terhindar daripadanya. Berikut
diketengahkan antara ciri atau tanda isteri derhaka:
1.Tidak mensyukuri kebaikan yang dilakukan suami
Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bermaksud: "Aku lihat api neraka,
tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang
dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakan ahli neraka ialah wanita.
Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam ditanya: "Mengapa demikian ya
Rasulullah?" Baginda menjawab: "Wanita mengkufurkan suaminya dan mangkufurkan
ihsannya. Jikalau engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih
belum merasa berpuas hati dan merasa cukup."
(Riwayat al-Bukhari)
Dalam hadis yang lain Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda bermaksud:
"Kebanyakan ahli neraka adalah terdiri daripada kaum wanita." Maka menangislah
mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka: "Mengapa terjadi demikian,
adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir ?" Baginda menjawab :
"Tidak, mereka ini ialah mereka yang menggunakan lidah menyakiti hati suami dan
tidak bersyukur akan nikmat yang disediakan oleh suaminya."
(Riwayat Muslim)
Ibnu ‘Asakir pula menyebut: "Apabila seorang isteri berkata kepada suaminya, aku
belum pun melihat atau merasa nikmat pemberian daripadamu, maka ketika itu
gugurlah segala pahala amalan kebajikannya."
2.Menyakiti hati suami
Isteri yang suka menyakiti hati suami akan menerima balasan buruk sebagaimana
sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam: " Seorang wanita menyakiti
suaminya, maka isterinya yang bidadari itu berkata: Janganlah kamu menyakitinya
semoga Allah mengutukmu, kerana dia (suami) itu disampingmu hanyalah sebagai
orang asing yang akan berpisah denganmu menuju kami."
(Riwayat Ibnu Majah)
3.Puasa sunat tanpa keizinan suami
Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam: "Tidak boleh seorang isteri
mengerjakan puasa sunat, jika suaminya ada dirumah, serta tidak dengan izinnya
dan tidak boleh memasukkan seorang lelaki ke rumahnya dengan tidak izin
suaminya."
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
4.Keluar rumah tanpa izin suami
"Apabila perempuan keluar rumah, sedangkan suaminya membencinya, dia dilaknat
oleh semua malaikat di langit, dan semua apa yang dilaluinya selain daripada jin
dan manusia sehingga dia kembali."
(Diriwayatkan oleh Thabarani di dalam al-Awsat)
5.Meminta cerai daripada suami
Sabda Rasulallah sallallahu ‘Alaihi Wasallam bermaksud:
"Mana-mana isteri yang meminta suaminya menceraikannya dengan tiada sebab yang
dibenarkan oleh syara’ haram baginya bau syurga."
(Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
6.Isteri yang tidak menunaikan hajat suami
Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam:
"Apabila memanggil suami akan isterinya ke tempat tidur, tetapi ditolaknya
sehingga marahlah suaminya, maka akan tidurlah wanita itu di dalam laknat
malaikat sehingga ke pagi."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Demikian sebahagian daripada ciri-ciri atau tanda isteri derhaka dan balasan
buruk yang akan diterima di akhirat nanti. Semoga ianya akan memberikan manfaat
dan kesedaran bagi kita semua, khususnya kaum isteri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan